Peristiwa sabtu lepas betul-betul menyedarkan aku betapa sakitnya perasaan seorang ibu yang kehilangan anak. Selama ini aku tumpang kesedihan para ibu yang kehilangan anak, tapi kali ini aku sendiri yang mengalaminya. Ya Allah hanya Kau saja yang tahu perasaan aku ketika itu.
Sabtu, tanggal 26 Disember 2009, jam 4.00 petang. Ketika ini aku sekeluarga bercuti di kampung halamanku si Slim River, Perak. Seperti yang dirancang, aku dan suami berhasrat untuk membawa anak-anak ke pekan Tanjung Malim untuk membeli pakaian mereka. Aku pun dah lama tak shopping kain untuk dibuat baju kurung. Kami sampai di pekan Tanjung Malim pada pukul 4.35 petang. Sampai saja memang ramai sangat maklumlah ada pasar malam. Tapi kami terus ke deretan paling belakang iaitu di kedai-kedai menjual kain dan pakaian.
Aku memilih untuk masuk ke kedai kain. Aku tak ingat nama kedai tu, tapi ia betul-betul bersebelahan dengan kedai menjual jam. Banyak juga pilihan kain. Semua cantik belaka. Blouse pun banyak. Aku perhatikan susunan kain dan bajunya dah banyak berubah. Dulu kainnya dilipat dalam partition bentuk raga, tapi sekarang dia gantung satu-satu. Blouse pun digantung dengan hanger dan digantung macam ampaian setinggi lebih kurang 5 kaki (lebih kurang tinggi aku je). Selalunya kalau aku nak pilih pakaian atau nak beli apa apa barang, kakak dan adik akan bermain dengan ayahnya. Begitulah sebaliknya. Masa ni si adik tidur so ayah terpaksa dukung dia la. Dan si kakak pun dengan gembira mengikut aku melihat-lihat kain dan baju. Kakak pun ada bergurau dengan aku dengan menyorok di bawah gantungan baju baju tu. Dah biasa.
Entah macam mana, tiba-tiba aku nilaikan bahawa kain dan baju di situ teramatlah mahal. Aku pun lekas menuju ke tempat suami berdiri sambil mendukung si adik. Biasanya suami pasti akan berdiri di bahagian hadapan kedai. Aku pun mengadu dengannya "mahal la bang kat sini.. jom pegi kedai lain jom" aku pun memanggil kakak. "Kakak! jom manja jom!" Tak ada sahutan. Suami pun panggil "Kakak... oo kakak.." Pelik. Senyap. Kami dah rasa berdebar. Aku selak-selak setiap kain dan baju. Tak ada kelibat pun. Aku pun agak angin sebab pembantu kedai tu hanya buat muka donno je sampai aku sergah, sebijik macam orang baru bangun tidur. "Dik, tolong sama cari anak akak kat dalam-dalam tu please!" Barulah nak tolong cari. Aku dah tak tentu arah lagi. Aku dah agak mesti kakak dah tak ada di situ. Dia tak pernah bergurau macam ni. Kalau dipanggil paling banyak dua kali dia mesti muncul. Tapi kali ni.
Dalam hati aku hanya berdoa "Ya Allah.. selamatkan anak aku" Aku dan suami betul-betul panik. Teramat panik. Sampai adik pun terjaga. Kami mencari kakak di semua kedai. Tak Ada. Suara aku dan suami memanggil nama kakak memang menceritakan kami dah kehilangan anak yang amat kami sayang. Anak yang teramat aku banggakan. Anak yang cantik. Bijak. Semua orang yang lalu lalang pun turut sama panik. Tokey kedai tadi pun muncul. Sama mancari. Suami berlari ke sana sini sambil memanggil nama kakak. "Kakaaakkk!!! Kakaaakk!!" Tidak kurang juga aku. Dengan suara tergetar-getar aku memanggil nama kakak. Tak ada sahutan pun. Pada masa ini tiba-tiba aku teringat suara nyaringnya berceloteh. Terngiang-ngiang. Terbayang masa mula-mula aku melahirkannya. Tarbayang senyuman. Tangisan. Ketawa. Terbayang juga kali terakhir aku melihat kelibatnya iaitu ketika dia menyorok di bawah kain tadi. Ya Allah.. masa ni aku seperti nak pengsan. Dunia ni aku rasa berpusing. Bagai nak pitam. Kakak tolong lah muncul.
Dah cari semua tempat tapi tak ada. Aku mula fikirkan yang bukan-bukan. Tiba-tiba aku teringat kisah adik Salinie yang hilang sampai sekarang belum dijumpai. Begitu juga kisah adik Nurin Jazlin yang dibunuh setelah diculik. Ya Allah.. tolong jangan bagi aku dugaan seberat itu. Aku mohon Ya Allah. Aku tak mampu nak hadapi kalau semua itu berlaku. Aku nekad. Aku mesti mencarinya sampai jumpa. Kami tak akan balik selagi tak jumpa kakak. Biar sampai bila sekalipun.
Setelah hampir setengah jam kami mencari, tiba-tiba aku terdengar suara kakak menangis. Aku mencari suara tu di celah-celah orang ramai yang lalu lalang. Aku memang pasti itu suara anak aku. Aku seperti bermimpi dengan apa yang aku lihat. Kelibat kakak tengah menangis sambil tangannya dipimpin oleh seseorang gadis bertudung. Sedang mencari-cari. Memang pasti mencari aku dan suami. Aku meraung memanggil "kakak... kakak pergi mana...." Kakak menerpa ke arahku. Sambil menangis dia memarahi aku "Kenapa mak jalan laju sangat??" "Lor... kakak.. mak tak jalan ke mana pun la.. kakak yang pandai-pandai keluar dari kedai tadi" Aku cium anak aku berkali-kali. Anak aku memeluk aku sekuat-kuatnya. Badan aku rasa menggeletar. Air mata mencurah-curah. Orang sekeliling semua memandang. Aku bersyukur sangat dan berterima kasih sangat pada adik bertudung yang memimpin tangan anakku tadi. Kalau boleh aku nak hulur semua duit yang aku ada. Tapi belum sempat aku nak keluarkan apa apa, suami dah ajak kami masuk kereta, untuk cepat balik ke rumah. Tak mahu meneruskan shopping lagi. Aku sempat bertanya "adik jumpa dia kat mana" dia pun menjawab dalam keadaan tergesa sebab mungkin dalam waktu bertugas, tak nak lepak lama sangat di luar tempatnya bekerja. "Kami jumpa dia di Big10. Dia kata mak dia hilang. Tu yang bawak dia tolong cari tu." Kalau adik yang bertudung dan beruniform tu ada terbaca blog aku ni, harap hubungi aku 012-3502067.
Setibanya kami dirumah. Kami menceritakan segalanya pada mak dan abah serta seluruh ahli keluarga yang lain. Semua terkejut. Terkedu. Masing-masing menggeleng kepala sambil membayangkan jika benar-benar kakak hilang selamanya. Atau jika benar-benar kakak hilang akibat diculik. Ya Allah.. aku bersyukur sangat Kau temukan semula kami sekeluarga. Abah aku pun berpesan berkali-kali lepas ni hati-hati, mesti kene hati-hati. Utamakan anak. Mak aku pun memeluk dan memujuk aku. Muka aku sampai sekarang belum hilang pucat. Air mata pun sampai sekarang belum kering. Asik memikirkan kalaulah kami tak dapat jumpa kakak hari tu.







1 comments:
Sian ko..len kali ikat!
Post a Comment